Review Novel 01/2015
TAJUK BUKU: TUNGGU TEDUH DULU
PENULIS: FAISAL TEHRANI
PENERBIT: PENERBITAN SELAIN, 2004 (juga diterbitkan oleh Al-Ameen Books selepas 2008)
MUKA SURAT: 678
SINOPSIS:
Kisah seorang graduan universiti di Amerika Syarikat, Salsabila Fahim, yang mengusahakan tanah pusaka peninggalan arwah ayahnya untuk dijadikan sebuah ladang betik dengan bantuan Teh Sofia, rakan sepengajiannya di AS. Sewaktu membangunkan ladang betik tersebut, persahabatan Salsabila dan Teh Sofia tergugat dengan kehadiran Kamil, pegawai FAMA, yang merupakan kawan lama Salsabila sewaktu di zaman persekolahan dahulu. Kisah lama yang segar kembali menyebabkan Teh Sofia merajuk dan menghilangkan diri ke Australia.
Usaha Salsabila berseorangan untuk memajukan ladang betiknya menemui pelbagai halangan dan cabaran, seperti penyakit-penyakit yang menyerang pokok betik, ribut kencang yang menumbangkan pokok-pokok betik dan kejadian sabotaj oleh adik tirinya, Zaman, yang cuba membakar bangsal yang memuatkan buah betik yang sudak dipetik dan ingin dihantar kepada pihak FAMA untuk dipasarkan. Tidak kurang juga, kesihatan ibu tirinya yang menghidapi penyakit kanser dan Zaman yang menghilangkan diri setelah gagal dalam cubaannya untuk memperkosa kakak tirinya (Salsabila) memberikan tekanan berganda kepada Salsabila.
Hubungan Salsabila dan Kamil bertambah rumit apabila Salsabila gagal memberikan kata putus terhadap hubungan mereka berdua. Keadaan bertambah kusut dengan munculnya Saifullah atau Lam Ping Hai, rakan lama mereka berdua di sekolah yang turut menyimpan cinta terhadap Salsabila. Dua menjadi tiga apabila seorang pekerja di ladang betik itu, Sazli, turut meluahkan rasa sukanya kepada Salsabila. Masalah bertambah di ladang betik apabila Sazli berhenti kerja dan tapak ladang betik itu hendak diambil oleh kerajaan untuk dijadikan lebuhraya. Walaubagaimanapun, kembalinya Teh Sofia bersama teman lelakinya, Dendy, membantu Salsabila untuk menguruskan hal-hal ladang dan memberikan tumpuannya kepada kesihatan ibu tirinya. Kehadiran isteri Zaman, Mimi, yang sudah berbadan dua dan membawa berita bahawa Zaman ditahan di Pusat Serenti menambahkan beban Salsabila. Mimi akhirnya dibenarkan menetap bersama mereka. Setelah ibu tirinya selesai pembedahan, Salsabila dan ibu tirinya ke Makkah untuk mengerjakan umrah.
Kematian ibu tirinya di dalam Masjidil Haram menyebabkan Salsabila menjadi panik tetapi kehadiran Sazli secara tiba-tiba membantu proses penyelesaian jenazah ibu tirinya di Makkah. Untuk tidak membiarkan Salsabila keseorang pada masa itu, Sazli telah menikahi Salsabila selepas mengebumikan ibu tirinya di Makkah.
Selepas umrah, Salsabila kembali ke Malaysia manakala suaminya, Sazli kembali ke Jerman untuk menyelesaikan pengajiannya di sana. Salsabila dan Teh Sofia cuba menghalang pengambilalihan ladang Teduh Dulu oleh kerajaan. Sementara itu mereka juga mengusahakan untuk membuka ladang betik di Indonesia dan Uganda. Akhir cerita, Zaman telah dijumpai terbunuh di sebuah jirat di Kuala Lumpur manakala kerajaan akhirnya memberikan pampasan kepada mereka di pengambilalihan ladang Teduh Dulu. Salsabila pula disahkan mengandung selepas kembali dari Makkah.
PENDAPAT SAYA:
Novel yang menarik, memberikan penghayatan kepada usaha seorang Muslimah untuk berjaya dalam usahanya sebagai seorang usahawan untuk membangunkan sebuah ladang betik. Dalam karya ini, Faisal Tehrani juga memuatkan kata-kata motivasi, petikan ayat-ayat Al-Quran dan petikan dari ahli-ahli falsafah untuk memberikan semangat dan motivasi kepada Salsabila yang saban hari menghadapi rintangan dan cabaran. Salsabila juga digambarkan sebagai seorang muslimah yang taat beragama, tidak meninggalkan ibadat-ibadat wajib dan juga mengerjakan ibadat-ibadat lain seperti puasa sunat, membaca al-Ma'thurat dan qiamullail. Ini memberikan kekuatan kepada dirinya.
Saya teringin untuk melihat novel Tunggu Teduh Dulu ini diadaptasikan ke dalam filem atau drama bersiri kerana banyak perkara yang kita boleh lihat dan belajar dari novel ini. Drama Tunggu Teduh Dulu sesuai untuk disiarkan di saluran Astro Oasis kerana secara keseluruhannya, imej dan kekuatan Islamik yang dibawa oleh Salsabila setanding dengan watak Abdullah Khairul Azzam di dalam novel dan filem Ketika Cinta Bertasbih.
Antara petikan dialog dari novel ini: Orang tak boleh pandang kita lemah. Kita perempuan Islam yang ada kekuatan dan maruah.
Di dalam novel ini, bahasa yang digunakan oleh Faisal Tehrani agak mudah (simple) untuk difahami berbanding novel-novelnya yang lain.
Rating Keseluruhan: 4.8 / 5.0 (kurang 0.2 bintang kerana bagi saya, novel ini boleh disambung lagi dengan pembukaan ladang Teduh Dulu di Indonesia dan Uganda).
Saya amat mencadangkan novel ini kepada mereka yang sudah putus semangat dalam mengharungi cabaran kehidupan.
No comments:
Post a Comment